Langkah-langkah untuk Menjaga Alam Sekitar
Alam
sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak
mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah
kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut.
Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan
sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi.
Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan
pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun
lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa
langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah
yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa
ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar
. Pada hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk
cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak
memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya
dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu
media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau
individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap
manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang
semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka
untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media
yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak
berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan
lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih
banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.
Selain
itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam
sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen
cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan
sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang
pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar
seperti menguruskan sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran
kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan
pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula.
Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan
pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga,
aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan
kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan
sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan
semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa
pentingnya hidupan hijau di bumi ini.
Langkah
ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui
organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan
juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula
diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam
dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains
seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains
Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah
bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam
sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan
cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di
sekolah. Pertandingan kelas terbersih di antara kelas juga perlu
dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri
pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan
proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan
hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan
alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar .
Langkah
seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan
teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat
penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan
pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi
moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa
meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan
teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan
buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain
dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu akan dapat mengurangkan
pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak
sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang
pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian
telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal
ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.
Kesimpulannya,
pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat mengikut
pertambahan bilangan pengguna. Saya berharap setiap individu dapat
mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar
alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan
dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan
badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan
penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan
yang berkuasa mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar
daripada terus tercemar.